Daripada Wikipedia,
ensiklopedia bebas.
Kemahiran antara perorangan atau kemahiran interpersonal merujuk kepada algoritma mental dan berkomunikasi
yang digunakan semasa komunikasi dan interaksi sosial untuk
mencapai kesan atau keputusan tertentu.
Konsep asas yang berkaitan dengan komunikasi
interpersonal ialah seperti konsep kendiri, sikap, sahsiah, nilai dan matlamat.
Ia akan membantu mewujudkan seorang individu yang berkebolehan dan berkeyakinan
semasa berinteraksi dengan persekitarannya.
Konsep
asas berkaitan Kendiri
Setiap dari kita mesti mempunyai suatu
gambaran atau pandangan tentang diri kita sendiri. Gambaran ini disebut konsep
kendiri atau imej kendiri. Ia merangkumi gambaran tentang rupa, kesihatan,
kebolehan, kelemahan dan tingkah laku kita. Konsep kendiri dibentuk hasil
daripada interaksi anda dengan orang lain dan penyesuaian diri anda dengan alam
sekitar. Penyesuaian yang berjaya akan menghasilkan konsep kendiri positif
manakala kegagalan akan membawa kepada konsep kendiri negatif. Konsep kendiri
seseorang juga dipengaruhi oleh tanggapan orang lain terhadap dirinya.
Perlu diingatkan bahawa konsep kendiri hanya
akan terbentuk apabila kita berinteraksi dengan seseorang dan penyesuaian diri
dengan alam sekitar.
Takrifan konsep kendiri: ‘Gambaran atau
pandangan tentang rupa, kesihatan, kebolehan, kelemahan dan tingkah laku diri
sendiri’
Konsep kendiri telah diperkenalkan oleh
William James (Deaux & Wrights, 1988). James telah menyifatkan kendiri
sebagai ‘saya’ atau ‘aku’. Dan ‘aku’ dilihat dari perspektif yang luas dan
meliputi badan, pemikiran, pakaian, tempat tinggal, isteri, anak-anak,
kawan-kawan, nenek moyang, reputasi, taraf pendidikan dan perkara-perkara yang
berkaitan dengan diri sendiri. Ini semua merupakan suatu pengalaman yang luas
dan mempengaruhi kesejahteraan diri. James juga mempercayai pengalaman kendiri
ini merupakan pengalaman sosial di mana identiti personal bergantung kepada
hubungan kita dengan orang lain serta menjadi hak peribadi. Konsep kendiri juga
merupakan identiti diri dan ia mempengaruhi diri dengan persekitaran sosial.
Konsep kendiri yang teguh ialah dengan memastikan
keseimbangan JERIS (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial) di dalam hidup
atau diri seseorang.
§ Konsep Jasmani –
kepercayaan terhadap diri sendiri dari sudut fizikal.
§ Konsep Pergaulan Sosial –
jenis-jenis pergaulan yang disukai atau tidak serta penerimaan masyarakat
terhadap diri individu.
§ Konsep Emosi – seperti
periang, sensitif dan sebagainya
§ Konsep Intelek – prestasi
di dalam pelajaran serta konflik diri terhadap tahap kebijaksanaan yang
terdapat di dalam diri individu.
Konsep kendiri terdiri daripada dua jenis
iaitu konsep kendiri positif dan konsep kendiri negatif.
Individu yang mempunyai konsep kendiri yang
positif lazimnya dapat menghadapi masalah dan cabaran-cabaran dengan tabah,
bersifat optimistik, sikap lebih terbuka serta sedia menerima pendapat dan
kritikan orang lain. Dia bersifat lebih relaks, mudah berinteraksi dengan orang
lain serta senang dihampiri. Keadaan emosinya lebih tenang dan stabil.
Individu yang mempunyai konsep kendiri
negatif akan berasa tidak puas hati, tidak gembira, cepat merajuk serta mudah
tersinggung perasaannya. Masalah-masalah tingkah laku seperti ini menyebabkan
dirinya kurang diterima oleh rakan-rakan sebaya, guru dan masyarakat. Keadaan
ini akan memburukkan lagi imej kendiri pelajar berkenaan. Mereka akan mempunyai
aras keyakinan diri yang rendah, sifat rendah diri, pasif, muram, tidak
bersedia untuk bersosialisasi ataupun mula menarik diri, mudah tersinggung,
tidak gembira, cepat merajuk dan pesimistik.
Berikut merupakan panduan untuk membentuk
konsep kendiri yang positif ke atas individu.
§ Pastikan matlamat yang
hendak dicapai dengan jelas
Setiap manusia tahu apa yang mereka perlukan.
Kita hendaklah mempunyai matlamat yang praktikal dan realistik dalam membentuk
konsep kendiri. Dengan adanya kemahiran yang mantap dan mutu diri yang baik
membantu mencapai matlamat tersebut.
§ Membuat keputusan sendiri
Kita hendaklah membuat keputusan sendiri dan
tidak meniru keputusan orang lain kerana hanya kita sahaja yang tahu tahap
kemampuan diri. Mereka juga perlu bersedia menanggung risiko daripada keputusan
yang diambil.
§ Membayangkan hasil yang
diharapkan
Kita perlu membayangkan hasil yang baik dalam
setiap apa yang hendak dicapai dan berusaha untuk mendapatkan hasil yang
dibayangkan dengan berfikiran positif.
§ Membentuk kemahiran
profesional
Kemahiran profesional yang kita bentuk akan
mengukuhkan konsep kendiri kita dan akan bertambah yakin dalam melakukan
sesuatu perkara.
§ Menggunakan kaedah sokongan
Melalui cara psikologi,
kita hendaklah membelai diri kita dengan ganjaran atau hadiah kepada diri
sendiri di atas hasil dan prestasi yang telah dilakukan.
§ Menerima hakikat kelemahan
diri.
Setiap individu perlu
menerima kelemahan diri sendiri.
Sikap
Takrifan sikap
“Kesediaan seseorang yang
bersifat mental dan saraf untuk bertindak terhadap sesuatu objek atau suasana
(situasi) tertentu yang terbentuk melalui pengalaman dan mempengaruhi seseorang
terhadap sesuatu (objek) dan situasi tadi.” (Allport, 1935)
Sikap seseorang bukannya dimiliki secara
semulajadi, tetapi ia dipelajari melalui pengalaman dan ini bermakna sikap
adalah dinamik dan boleh diubah melalui pendidikan dan latihan. Sikap juga
mempunyai peranan penting sebagai faktor pendorong dalam tindakan manusia sama
ada untuk menerima atau menolak sesuatu. Namun, sikap tidak boleh dilihat atau
diukur secara terang, kecuali dalam bentuk-bentuk kelakuan atau tindakan yang
dikesan secara tidak langsung melalui tindakan-tindakan tertentu yang
dizahirkan. Sikap adalah spontan dari segi tindakan.
Fernandes (1985) mengatakan bahawa sikap
adalah perasaan suka atau tidak suka terhadap sesuatu kelompok, institusi atau
konsep. Birren dan rakan-rakan (1981) berpendapat bahawa sikap boleh menentukan
bagaimana keperibadian seseorang dilahirkan kerana ia adalah kumpulan hasil
penilaian seseorang terhadap objek, orang lain atau masalah-masalah sosial
tertentu. Beberapa pakar berpendapat bahawa sikap terdiri daripada tiga
komponen iaitu komponen kognitif, afektif dan tingkah laku. Komponen kognitif
merujuk kepada kepercayaan atau keyakinan yang menjadi pegangan seseorang.
Komponen afektif adalah perasaan yang dimiliki oleh seseorang terhadap sesuatu
objek. Komponen tingkah laku pula adalah kecenderungan untuk bertingkah laku
atau berbuat dengan cara-cara tertentu terhadap sesuatu objek. (Sherwood &
Wagner 1969, Gahagan 1980 dan Sears et. Al. 1988).
Ringkasnya dapatlah dirumuskan sikap sebagai
keinginan untuk memberi tindak balas sama ada secara positif atau negatif
terhadap sesuatu perkara yang dilahirkan ke dalam bentuk tindakan yang zahir
dan boleh dinilai.
Sahsiah
Sahsiah berasal daripada Bahasa Arab yang
bermakna keperibadian. Keperibadian merupakan sifat seseorang yang sudah sebati
dengan dirinya.
Sikap individu, norma dan nilai yang dipegang
oleh seseorang secara tidak langsung akan mempamerkan sahsiah mereka sama ada
baik atau tidak. Sahsiah merupakan sifat dan sikap seseorang yang dilihat dari
aspek luaran dan dalaman. Sahsiah adalah keperibadian seseorang. Sahsiah dapat
dipamerkan melalui perwatakan yang baik.
No comments:
Post a Comment